HASRAT jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk menghadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila pingat emas dimenangi atlet tersebut dibatalkan selepas dibantah oleh kem Ukraine.

Ziyad sebelum itu yang berstatuskan juara bertahan di edisi Paralimpik Rio 2016 tampil aksi cukup bertenaga apabila memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru F20.

Kem Ukraine difahamkan melakukan bantahan selepas tiga atlet, Ziyad; alet Australia, Todd Hodgetts dan atlet Ecuador didakwa lewat memasuki bilik panggilan sebelum acara bermula.

Keputusan tersebut menyaksikan Ukraine meraih pingat emas dan perak menerusi dua atletnya Maksym Koval dan Oleksandr Yarovyi yang masing-masing mencatat balingan 17.34 meter (m) dan 17.30m, manakala pingat gangsa menjadi milik Greece, Efstratios Nikolaidis (15.93m). – SINAR ONLINE