Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan supaya semua pihak, terutamanya kerajaan dalam usaha mengembalikan kesepaduan rakyat selari dengan tema Malaysia Prihatin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Agong bertitah, melalui tema Malaysia Prihatin menunjukkan rakyat dilindungi supaya dapat menghadapi impak negatif COVID-19 yang sedang dilalui ini.

Oleh itu, Seri Paduka Baginda menitahkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok seperti diharapkan.

“Rakyat juga sewajarnya berpegang teguh kepada prinsip Malaysia Prihatin dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti.

“Seri Paduka Baginda berpandangan bahawa sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan hanya membawa musibah kepada masyarakat dan menggugat pelan pemulihan negara yang telah dirangka,” katanya dalam satu kenyataan dari Istana Negara hari ini.

Tuanku juga berbesar hati merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, sukarelawan dan orang perseorangan yang menabur khidmat bakti kepada masyarakat serta negara.

Tuanku turut menyeru rakyat untuk mengingati dan menghargai pejuang, patriot kemerdekaan negara serta anggota keselamatan yang berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

Menurut Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong juga mahu rakyat mengimbau kembali enam dekad yang lalu di mana semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya.

Tamat