PETALING JAYA: Aktivis kemanusiaan, Caprice mengakui dirinya merindukan keluarga dan perniagaannya serta ingin segera balik ke tanah air.

Dia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pengikutnya di Instastory.

“Tentunya saya ingin balik ke Malaysia. Saya merindukan keluarga, perniagaan dan permainan saya.

“Tetapi itulah, saya harap dapat tinggal di sini (Jordan) lebih lama sebab telah banyak kami lakukan untuk misi di sini, saya harap saya dapat lakukan lebih banyak lagi. Saya akan tetap kembali ke sini, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli, 33, memberitahu keadaannya semakin sihat setelah dimasukkan ke hospital di Jordan akibat demam dan serangan panik.

“Alhamdulillah, saya rasa lebih sihat. Cuma doktor suruh rehat.

“Tetapi disebabkan ini adalah hari-hari terakhir saya di Jordan, saya perlu berikan yang terbaik.

“Insya-Allah sebelum saya naik kapal terbang, saya akan muat naik kesemua video saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Caprice mengakui sejak dirinya menjadi tular, dia bertemu rakan-rakan baharu di Jordan yang banyak membantunya menjayakan misi menuju ke Al Aqsa.

“Sejak lagu koyak dan sesi live Instgram saya bersama pempengaruh askar Israel itu menjadi tular, kita bertemu ramai sahabat baharu di sini.

“Jadi, banyak perjumpaan dan mesyuarat dilakukan dan anda akan melihatnya nanti,” ujarnya. – UTUSAN