PETALING JAYA: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang sepatutnya dijadualkan pada 6 September sehingga 30 September ini telah dipinda ke tarikh 13 September sehingga 12 Oktober.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat yang bertarikh 30 Ogos.

“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September sehingga Khamis, 30 September telah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis 12 Oktober 2021,” katanya.

Surat itu juga menampilkan takwim baharu Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang berlangsung selama 17 hari iaitu bermula 13 September sehingga 12 Oktober.

Urusan majlis sidang itu dimulakan dengan Titah Diraja di Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen pada 13 September dan kemudian diikuti dengan usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja pada keesokkan harinya sehingga 21 September.

Urusan majlis kemudian diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada tarikh 22 dan 23 September.

Selain takwin mesyuarat juga memaklumkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September dan disusuli dengan pembahasan bermula 28 September hingga 4 Oktober.

Mesyuarat itu kemudian berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan rang undang-undang dan urusan kerajaan lain pada 11 dan 12 Oktober. – UTUSAN