Satu video tular di media sosial seorang pesakit COVID-19 jatuh, dan mati di lantai hospital akibat lewat diberikan bantuan telah dinafikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini.

Melalui satu siaran akhbar, Pengarah JKN Kedah, Dr Othman Warijo berkata, pesakit berkenaan terus diperiksa keadaannya selepas jatuh oleh pegawai perubatan yang bertugas pada jam 2.25 petang.

JKN mengambil langkah bagi melakukan siasatan segera selepas lelaki terbabit didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital.

Menurutnya pada hari kejadian, setelah rondaan wad pagi selesai, pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) kira-kira jam 1.45 petang.

Kemudian pada jam 2.25 petang, petugas wad diberitahu seorang pesakit telah jatuh dari katil. Pegawai perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad, pemakaian PPE telah mengambil masa kira-kira lima minit.

“Ketika itu, pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup. Pesakit telah dinaikkan semula ke katil dan disahkan meninggal dunia dan punca kematian pesakit adalah Severe COVID-19 Pneumonia,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Video yang tular di media sosial selama 37 saat memaparkan pesakit lelaki berusia 60-an terjatuh di lantai sebelum meninggal dunia di hospital di Sungai Petani dan didakwa oleh netizen berlaku kecuaian doktor dan jururawat.

Melalui video berkenaan menunjukkan pesakit terbabit yang memakai kain tanpa baju, berjalan dalam keadaan lemah sebelum terjatuh.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, pesakit adalah seorang warga emas yang telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, pada Khamis lalu (26 Ogos) setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian COVID-19 Daerah Kuala Muda.

Pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan dijangkiti COVID-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi. Pesakit itu bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan dan dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi,” katanya.

Dr Othman, berkata berkata pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada petang yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian semalam.

Katanya, ahli keluarga sememangnya telah maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.

“Justeru kami meminta orang ramai menghentikan penularan video berkenaan bagi menghormati keluarga mendiang,” katanya.

Tamat