Perbicaraan terhadap prosiding kes 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu dan Khamis, dilapangkan kerana bekas Timbalan Perdana Menteri masih dalam cuti sakit.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa di Mahkamah Tinggi di sini menetapkan perkara itu selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Menurutnya, mahkamah menerima permohonan untuk menangguhkan perbicaraan daripada pihak pembelaan pada 23 Ogos lalu berserta sijil cuti sakit.

Beliau berkata, ia turut disertakan dengan pengesahan daripada doktor pakar dari Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, Dr Mohd Shahir Anuar, ketika prosiding kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, minggu lalu.

“Isu sama ada klinik swasta atau kerajaan, terjawab apabila doktor pakar itu hadir di mahkamah dan mahkamah dapati bahawa isu kesihatan yang dikemukakan disahkan doktor itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, berasaskan kandungan sijil kesihatan secara prima fasie, menunjukkan bahawa tertuduh tidak layak untuk hadir prosiding sehingga 4 September.

Oleh itu mahkamah menetapkan perbicaraan diteruskan pada 28 September, 22 Oktober, 18 dan 19 November serta 20 hingga 24 Disember depan.

Dalam pada itu, Mohd Yazid mengingatkan bahawa, tarikh yang telah dikemukakan adalah tarikh yang dipersetujui oleh kesemua pihak.

“Pastikan, pada tarikh itu kes berjalan seperti biasa dan mana-mana penangguhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, semasa prosiding, peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Dr Mohd Shahir menyatakan bahawa Ahmad Zahid memerlukan masa antara empat hingga enam minggu untuk berehat.

Namun selepas perbincangan katanya, tempoh diberi adalah dua minggu dan Ahmad Zahid perlu hadir di mahkamah pada 6 September ini.

“Ahmad Zahid dimasukkan ke hospital dan beliau menerima cuti sakit bertarikh 26 Ogos sehingga 4 September ini.

“Namun anak guam saya hadir hari ini atas inisiatif sendiri, sekali gus menunjukkan bahawa beliau komited berhubung isu kehadiran dan tidak mengetepikan mahkamah,” katanya.

Justeru itu beliau berkata, pihak pembelaan memohon kepada mahkamah agar perbicaraan kes dilapangkan dan memohon tarikh baharu untuk prosiding kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan dengan saksi-saksi sedia ada.

“Selain itu, pihak pendakwaan berharap agar surat sijil cuti sakit dikeluarkan oleh hospital atau klinik kerajaan sahaja.

“Sebagaimana sedia maklum, sijil cuti sakit daripada hospital swasta tidak boleh digunakan untuk prosiding mahkamah,” katanya.

Terdahulu Zahid Hamidi, berdepan dengan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Tamat