SHAH ALAM – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendesak kerajaan Selangor membatalkan keputusan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) susulan daripada bantahan seluruh masyarakat terhadap cadangan berkenaan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, keputusan penyahwartaan itu sebelum ini telah mendapat bantahan banyak pihak antaranya melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa) negeri dan persekutuan, Jabatan Perhutanan Malaysia dan masyarakat setempat.

Shariffah Sabrina berkata, jumlah bantahan secara dalam talian terhadap keputusan berkenaan juga mencecah sehingga 129,034 tandatangan daripada seluruh pihak khususnya masyarakat setempat.

“Kami berpendapat bantahan ini adalah relevan dan mencerminkan kebimbangan umum terhadap keputusan penyahwartaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Pada November tahun lalu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor sebulat suara mengundi bagi menyokong satu usul yang dibentangkan bertujuan melindungi dan membatalkan rancangan penyahwartaan HSKL.

Namun begitu, Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian menerusi sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin memberitahu dewan, bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan keseluruhan kawasan hutan simpan itu sebagaimana rancangan asal selepas mendapat bantahan komuniti.

Loy Sian berkata, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-17/2021 pada 5 Mei lalu yang kemudiannya disahkan sekali lagi pada 19 Mei lepas.

Ujar Loy Sian, MMKN telah meluluskan kawasan seluas kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan HSKL untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985. – SINAR