Hati mana tidak panas, apabila sudah diumumkan sebagai pemenang, kini gelaran itu ditarik semula. Ini menyebabkan pasukan tentera bawang Malaysia melancarkan serangan sehingga Facebook Kedutaan Ukraine terpaksa menutup ruangan komen.

Akibat serangan itu, halaman rasmi Kedutaan Ukraine di Malaysia hanya membenarkan orang-orang tertentu sahaja untuk meninggalkan komen.

Situasi genting yang menaikkan kemarahan rakyat Malaysia turut mendapat perhatian Duta Besar Ukraine di Malaysia Olexander Nechytaylo. Di dalam satu hantaran terbarunya di Facebook, beliau berkata bahawa terdapat beberapa persoalan mengenai keputusan lemah pihak penganjur sehingga tercetusnya kontroversi tersebut, “Soalan-soalan ini harus ditangani dengan cepat dan telus untuk menjaga semangat Sukan Olimpik,” katanya.

Sejak semalam netizen sudah mula menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Di Twitter, Facebook dan Instagram semua orang mendesak agar emas itu dipulang kepada Ziyad Zolkefli. Mereka berpendapat protes itu tidak berasas dan seolah-olah mahu menafikan kemenangan Ziyad yang bukan sahaja memenangi emas tetapi berjaya memecahkan rekod dunia.

Selain itu Menteri Belia dan Sukan, Faizal Azumu berkata dalam ciapannya bahawa perkara ini akan dibawa kepada pengetahuan CDM (Chief de mission) selepas protes daripada Ukraine masih diterima, “Counter protes daripada 3 negara akan dibawa ke mesyuarat CDM esok pagi. Kita pertahankan! Mohon doa rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu Ziyad Zolkefli berjaya memperagakan aksi yang baik apabila berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara lontar peluru. Lebih manis lagi, beliau bukan sahaja beejaya memecahkan rekod dunia, malah mengatasi catatan rekod kebangsaan atlet normal 17.58 yang dipegang oleh Adi Alifuddin Hussin pada Sukan SEA 2011.

Lontaran ketiganya, 17.94 berjaya memecahkan rekod dunia 17.29 miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017. Namun segala rekod ini lebur selepas keputusan lemah oleh pihak penganjur disebabkan kelewatan untuk masuk ke ruang menunggu.

Tamat