Sebanyak RM 2.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi membaik pulih kerosakan dan penggantian paip baharu yang patah di dasar Sungai Terengganu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, paip baru berkenaan yang dipesan dari Itali serta Australia kini dalam proses penyambungan dan akan dipasang di dasar sungai berkenaan.

Menurut beliau, projek pemasangan paip baharu dan kerja pembaikan paip sedia ada dijangka siap sepenuhnya pada Ahad ini.

“Apabila paip utama baharu siap, ia turut mempercepatkan pengoperasian Loji Rawatan Air Bukit Berapit dengan kapasiti 60 juta liter sehari atau 50 peratus pada peringkat permulaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan meninjau kerja-kerja baik pulih kerosakan paip di Sungai Terengganu hari ini.

Paip di dasar sungai bersaiz 1,200 milimeter dari Loji Rawatan Air (LRA) Kepong II ke tangki utama di Bukit Berangan patah kali kedua pada 23 Ogos lalu sehingga menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk.

Menurutnya bagi menangani masalah paip di dasar sungai patah atau berlaku kebocoran sehingga menjejaskan penduduk, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan negeri digesa memastikan aktiviti di kawasan sungai terutama perlombongan pasir sungai diberi perhatian dan dikawal selia dengan lebih teratur.

Kata beliau, kerajaan negeri diminta mengguna pakai garis panduan pengambilan pasir sungai (pindaan 2020) seperti dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sudah dipersetujui semua kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 pada 18 Ogos 2015.

“Garis panduan itu bertujuan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai dengan mengambil kira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.

“Garis panduan itu juga bertindak sebagai kaedah dalam menetapkan kuantiti pasir yang boleh dikeluarkan pada satu jangka ditetapkan dan mekanisma pemantauan perlu dilakukan,” katanya.