Melalui satu mesyuarat dengan syarikat Pfizer, Malaysia sedang menunggu data ujian klinikal berkenaan vaksin terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun.

Berhubung dengan kenyataan berkenaan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan mengenai perkembangan kajian vaksin untuk golongan berkenaan.

“Mengenai vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 12 tahun (ke bawah), apabila ada data yang mencukupi dan dipastikan ia selamat baru kita akan membawanya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Dalam perbincangan saya dengan Pfizer, mereka kemungkinan akan keluarkan vaksin spesifik untuk kanak-kanak, iaitu sukatan dos berbeza berbanding dos dewasa,” katanya pada Sidang Media Khas Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, pada semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan harga siling bagi kit ujian kendiri Rapid Test Kit (RTK) dalam masa terdekat.

“Ada berita baik, saya akan minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) umum dalam masa terdekat.

“Kita akan tetapkan harga siling kit ujian kendiri RTK dan Datuk Seri Alexander akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan kawalan harga terhadap kit ujian RT PCR dan RTK Antigen yang dijual melalui sektor swasta.

Ia melibatkan harga ujian yang dicadangkan RM150 bagi RT-PCR dan RM60 untuk RTK Antigen bagi mereka yang memilih melakukan saringan di fasiliti kerajaan.

Tamat