Lantikan Duta Khas ke Asia Timur, Asia Barat, China akan diteruskan oleh pihak kerajaan.

Melalui satu kenyataan ringkas daripada Pejabat Perdana Menteri,keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Kabinet pertama yang berlangsung semalam.

“Mesyuarat Kabinet pertama yang berlangsung pada 1 September 2021 bersetuju untuk terus menyambung pelantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Tengah; Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur,” katanya.

Sebelum ini, status ketiga-tiga pemimpin politik itu sebagai Duta Khas menjadi tanda tanya susulan peletakan jawatan Perdana Menteri terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pembubaran Kabinetnya.

Pada 2 April tahun lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Abdul Hadi yang juga Presiden PAS, sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Tengah bertaraf menteri berkuat kuasa serta-merta.

Kira-kira tiga minggu kemudian pada 20 April 2020, pejabat sama mengumumkan pelantikan King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri bertaraf menteri ke China manakala Richard yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dilantik menjadi Duta Khas ke Asia Timur pada Mei tahun lalu.

Tamat.