PETALING JAYA: Gara-gara tertekan pedal minyak, sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki seorang warga emas merempuh ke dalam sebuah pasar raya di Puchong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, menyebabkan seorang pekerja restoran makanan segera cedera selepas dilanggar kenderaan terlibat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku apabila warga emas berusia 64 tahun itu mahu pulang ke rumah setelah selesai membeli barang keperluan di pasar raya berkenaan.

Kata beliau, bagaimanapun, warga emas berkenaan tiba-tiba tertekan pedal minyak mengakibatkan kereta dipandunya merempuh masuk ke dalam pasar raya berkenaan dan melanggar pekerja lelaki yang sedang berdiri di hadapan kaunter sebuah restoran makanan segera di situ.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa berusia 31 tahun mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Zon Kuning Hospital Serdang.

“Keadaannya dilaporkan stabil, manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Anbalagan, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di laman sosial memaparkan sebuah kereta merempuh ke dalam sebuah pasar raya. -UTUSAN ONLINE