KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan kesalahan membawa lari pesalah trafik yang terlibat dengan kemalangan maut pada 14 Ogos lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komsioner Sarifudin Mohd Salleh, suspek membawa lari pesalah yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan melindungi pesalah ini boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan iaitu melindungi seorang pesalah dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun dan dikenakan denda bagi kesalahan di atas.

“Sebagai makluman, ini merupakan kes pertama di Malaysia bagi penguatkuasaan trafik menuduh pesalah di bawah seksyen tersebut.

“Suspek dan pesalah yang dilarikan masing-masing bekerja sebagai penghantar makanan dan pengawal keselamatan serta kedua-duanya bekerja separuh masa sebagai ‘call man’,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, kemalangan pada 14 Ogos lalu itu melibatkan sebuah kereta melanggar dua buah lori yang berhenti di lorong kanan bagi kerja-kerja penurapan di Jalan Mahameru dari arah Jalan Duta ke Jalan Semantan, ibu negara.

Jelasnya, kejadian itu berlaku apabila kereta berkenaan melanggar papan amaran yang diletakkan di belakang lori berkenaan dan terbabas ke dalam kawasan pembaikan jalan seterusnya melanggar sebuah lori dan mesin ‘stroller’.

“Akibat pelanggaran itu, mesin ‘stroller’ tersebut telah terpelanting dan terkena kepada tiga pekerja yang sedang melakukan kerja penurapan tersebut.

“Mangsa maut ditempat kejadian manakala dua lagi rakannya mengalami kecederaan,” katanya.

Sehubungan itu, Sarifudin menegaskan pihaknya memandang serius perkara ini dan memberi amaran supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membawa lari individu yang terlibat dengan kemalangan maut dengan tujuan untuk melindungi pesalah tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat tentang kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis berhampiran.