PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan ke atas pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Aduan itu didakwa bagi mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah kepada sah.

Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, beliau didakwa meluluskan penangguhan Pemilihan Agong UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.

Justeru itu, kata sumber, aduan diterima daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan  yang dibuat.

“Mereka mengesyaki berlakunya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah untuk mempengaruhi perubahan keputusan ini oleh segelintir ahli politik yang cenderung kepada pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, UMNO dalam satu kenyataan pada 30 Ogos lalu memberitahu, pihaknya telah menerima surat daripada RoS yang mengesahkan keputusan penangguhan Pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sehubungan itu pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

Pada 6 Ogos lalu, RoS menetapkan keputusan Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE