Sebuah badan NGO Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menyokong cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman, yang mahu menyerahkan notis usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula atau ‘recall election’.
Presiden TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan, berkata melalui rang undang undang berkenaan, akan ada sebuah akta akan diwujudkanbagi mencegah aktiviti lompat parti, yang sudah lama disokong oleh pakar dan pertubuhan sivil tempatan.
“Rakyat memilih kerajaan menerusi pilihan raya pada 2018, tetapi dirampas kuasa dan hak mereka ketika dihadapkan dengan kerajaan yang tidak dipilih oleh mereka secara sah.
“Bagaimanapun lebih menyedihkan ialah apabila sekutu dan kepemimpinan yang dimandatkan secara demokratik, semuanya dibuat olok-olok melalui aktiviti lompat parti, pecah amanah dan semangat kesetiaan yang kian luntur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Azalina yang juga Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bercadang menghantar notis usul berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.
Menurutnya melalui usul itu diharap menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat melalui sidang Parlimen, September ini.
Beliau berbesar hati sekiranya perbincangan di antara kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan blok pembangkang dan blok Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.
Muhammad berkata, adalah wajar jika mengatakan rakyat ‘tidak diberi keutamaan dan melalui perjalanan yang sukar’ selama berbulan-bulan tanpa demokrasi berparlimen, pertukaran dua Perdana Menteri, satu pilihan raya negeri, pelbagai rombakan kabinet dan kisah akaun berkanun (statutory declaration) yang tidak terkira jumlahnya.
“Demokrasi matang adalah membabitkan institusi demokrasi yang kuat, dan justeru undang-undang untuk mencegah lompat parti diperlukan bagi memberi kuasa semula ke tangan rakyat bagi menarik sokongan mereka daripada wakil rakyat yang sudah dipilih yang secara tiba-tiba menukar kesetiaan.
“Ini adalah wajar bagi memastikan pembaharuan yang dijanji dapat dijalankan secara adil dan fungsi pentadbiran awam terlaksana secara langsung,” katanya.
Menurut beliau, anggota Parlimen dan wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundi di kawasan masing-masing, dan mandat serta tugas yang diamanahkan kepada mereka, dan bukan kepada pemimpin parti, kumpulan tertentu dan janji jawatan dan kemewahan.
Tamat