Rakyat di Malaysia digesa supaya, menutup pintu perbezaan, dan mencari titik persamaan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setiap individu diingatkan tidak bertindak melampau dalam sebarang perbezaan.

Menurutnya, sebarang perbezaan perlu sentiasa dirunding dengan penuh kebijaksanaan dalam mencari kebenaran, daripada terus bertelingkah antara satu sama lain.

“Kita jangan mengambil kira tindakan yang sangat terpencil dengan kenyataan lisan dan tulisan sahaja, kerana ia tidak akan mampu membakar hangus situasi hubungan antara kaum.

“Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, ia tidak akan melarat seperti mana yang berlaku di negara lain,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau pada hari ini.

Menurutnya, sikap yang sederhana pada dasarnya telah ditunjukkan oleh PAS sebagai sebuah parti yang berlandaskan Islam yang mendahului konsep bangsa, bahkan termasuk UMNO yang meletakkan asas kebangsaan di hadapan juga tidak melampau kerana masih mempunyai roh Islam.

Begitu juga parti yang paling baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai persamaan.

“Walaupun terdapat parti perkauman yang ekstrem dengan tuntutan-tuntutan melampau tanpa menghormati hak yang telah diberikan, bahkan ada juga yang membawa ideologi yang melampau bertapak di sini, tetapi semuanya tidak boleh menguasai keadaan stabil yang wujud,” ujarnya.

Hadi Awang berkata, PAS mengambil teladan daripada Rasulullah SAW dengan memulakan langkah penyatuan umat Islam dengan memulakan pembentukan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan Pas bersama UMNO dan Bersatu di Semenanjung.

Setelah itu, katanya, diikuti dengan gagasan yang lebih besar bersama parti-parti di Sarawak, Sabah dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem atas nama Perikatan Nasional (PN) sehingga akhirnya berjaya mengambil alih kuasa secara demokrasi berparlimen.

“Penyelesaian Islam wajib diberikan peranan bagi menyelamatkan negara yang bermasyarakat majmuk, walaupun ia dipaksa oleh penjajah untuk dijadikan sebagai bom jangka.

“Adapun kita semua wajib mematikan tujuan jahat penjajah itu. Apa yang berlaku sebenarnya mengandungi hikmah yang besar, supaya Islam diberikan giliran semula bagi menyelamatkan manusia,” katanya.

Tamat.