Kehidupan orang asli Selangor kini bagaikan melukut di gantang apabila hutan simpan kekal seluas 536.7 hektar bakal diwartakan statusnya sebagai hutan simpan yang boleh digunakan.

Walaupun berbagai pihak, NGO, penduduk orang asli membuat bantahan, namun suara mereka seakan tidak didengari pihak kerajaan negeri.

Dapat dibayangkan apabila terlucutnya status hutan simpan kekal, bakal berlaku kerosakan ekosistem asal hutan yang diperlukan serta akan terjejasnya kediaman Orang Asli yang berhampiran dengan hutan simpan berkenaan. 

Kerajaan negeri Selangor seakan membisu apabila desakan demi desakan dibuat orang ramai apabila para Exco atau anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) yang mengambil bahagian meluluskan penyahwartaan hutan simpan itu dibuat di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Menariknya semua ahli sedia maklum berkenaan itu lagi, (MKKN) telah menyahwartakan seluas 539.9 hektar hutan simpan kekal di Langat Utara bagi tujuan pembangunan.

Oleh itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mengambil langkah ke depan mendesak kerajaan Selangor membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) susulan infrastruktur di negeri ini sudah mencukupi.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan negeri sewajarnya memelihara lebih banyak hutan simpan atau mewujudkan taman-taman yang terdiri daripada kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan.

“Sebagai sebuah negeri maju, Selangor perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pemeliharaan kawasan hutan simpan yang menjadi sumber bagi penyerapan air hujan.

“Kami juga dah nyatakan sewaktu sesi townhall sebelum ini bahawa kita tidak mahukan apa-apa kemusnahan berlaku di kawasan HSKLU.

“Negeri Selangor kalau ada sahaja hutan, semua nak bangunkan dan kita kena faham betapa pentingnya hutan-hutan ini untuk dipelihara,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan Selangor di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaaan (SUK) Selangor pada Jumaat.

Selain Peka, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Otai Reformis, Pertubuhan Gerak98 dan beberapa lagi NGO turut hadir bagi menyerahkan memorandum bantahan berkenaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini agar dapat merujuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan beliau telah memberi maklumat palsu kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum Menteri Besar memberi jaminan yang bahawa penyawartaan ini tidak akan berlaku, dan hutan simpan ini selamat, tapi hari ini lain pula yang berlaku,”

Tamat