PETALING JAYA: Pihak berkuasa Israel membebaskan seorang tahanan wanita Palestin yang sarat mengandung awal pagi tadi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang berkongsi perkara itu berkata, tahanan yang hamil sembilan bulan, Anhar Ad-Daeek dibebaskan dengan ikat jamin sekitar RM50,000 dan dengan arahan tidak keluar dari rumah keluarganya. 

 “Alhamdulillah, setelah ditekan masyarakat antarabangsa, Anhar Ad-Deek dibebaskan sekejap tadi. 

 “Dia dibawa ke hospital untuk bersalin sebelum dihantar ke rumah. Ini pentingnya kita tidak membisu!,” katanya dalam channel Telegramnya hari ini.

Baru-baru ini, portal-portal melaporkan pihak berkuasa Israel enggan membebaskan seorang tahanan Palestin yang sarat mengandung sembilan bulan dan dijangka melahirkan bayinya di dalam penjara.

 Keluarga wanita itu membuat rayuan kepada badan antarabangsa supaya masuk campur bagi membolehkan Anhar, 25, melahirkan anak di luar penjara.

 Wanita yang berasal dari pekan Kafr Ni’ma, barat Ramallah itu mengirimkan sepucuk surat kepada keluarganya supaya badan hak asasi manusia dapat mengambil tindakan terhadap tindakan pemenjaraannya.  – UTUSAN ONLINE