Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan terima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air yang mengambil cakna berkenaan dilema masalah air yang dihadapi penduduk Kuala Nerus.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ atas komitmen YB Dato’ dan kementerian KASA membantu bagi menangani krisis air yang berlaku.

“Alhamdulillah, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air petang tadi membuat lawatan kerja ke Kuala Nerus,” katanya.

Menurutnya beliau berbesar hati, apabila Tuan Ibrahim turun melihat sendiri masalah dihadapi penduduk Kuala Nerus. Pada masa sama, menyelesaikan krisis air akibat pam utama pecah.

“Loji Air Bukit Berapit yang menjadi tujuan utama lawatan kerjanya bagi menyelesaikan krisis air melibatkan 150,000 pengguna ekoran kejadian paip utama pecah di dasar Sungai Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, lawatan kerja ke Terengganu adalah mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tindakan susulan mengenai insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu.

“SPAN telah menubuhkan dan mengetuai pasukan taskforce bagi memastikan dua tindakan mitigasi utama dilaksanakan.

“Pertama, paip utama berukuran 1,200 diameter mesti dibaiki segera dan dijangka siap pada 12 September 2021. Kedua, LRA Bukit Berapit mesti siap beroperasi pada 14 September 2021 dengan kapasiti 50% atau 60 JLH peringkat permulaan” katanya selepas membuat tinjauan semalam di hulu Sungai Terengganu.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada seluruh jawatankuasa khas yang memastikan bekalan air sentiasa teratur seperti pasukan bekalan air yang diuruskan oleh Dr Khairuddin.

“Saya juga sambut baik tindakan pantas YAB MB Terengganu yang telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat insiden berkenaan. Siasatan perlu menyeluruh bagi mengelakkan ia berlaku lagi.

“Terima kasih kepada SPAN dan Syarikat Air Terengganu (SATU) kerana telah menyiapkan infrastruktur kecemasan bagi memastikan rakyat sentiasa mendapatkan bekalan air mencukupi,” katanya.

Tamat