PENGUMUMAN Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam mengenai lebih banyak kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri akan diberikan dalam tempoh terdekat pastinya memberi sedikit sinar bahagia khususnya kepada anak-anak perantau.

Meskipun perkara itu masih dalam peringkat pertimbangan, namun setidaknya berita itu cukup melegakan.

Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbarnya pada Jumaat meminta rakyat Malaysia bersabar untuk melakukan aktiviti rentas negeri bagi menziarahi keluarga masing-masing.

Jelasnya, pihaknya ketika ini dalam peringkat akhir memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri sebelum dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi tujuan tersebut.

Namun, disebalik kegembiraan itu, rakyat juga perlu sedar bahawa kes jangkitan Covid-19 di negara ini masih lagi tinggi.

Malah, lebih membimbangkan terdapat beberapa negeri yang masih rendah nilai ambang vaksinasi.

Negeri berkenaan adalah Sabah, Kelantan, Perak, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang. – SINAR