PETALING JAYA: Sebarang cubaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengelak usul undi percaya di Dewan Rakyat mungkin mendatangkan kesan buruk hingga beliau diserang dengan hebat, kata dua penganalisis politik.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi dan ahli akademik Azmi Hassan berkata Ismail tidak boleh melengahkan pembentangan usul undi percaya berkenaan.

Awang Azman berkata Yang di-Pertuan Agong telah bertitah secara jelas supaya usul itu dibentangkan bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti.

“Sekiranya Ismail gagal membentangkan undi percaya, dia akan menerima kesan buruk hingga diserang dengan hebat,” kata Awang Azman kepada FMT.

Dia mengulas kenyataan Peguam Negara Idrus Harun yang berkata tidak ada keperluan untuk Ismail membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Idrus berkata sekiranya keabsahan Ismail sebagai perdana menteri masih perlu diuji oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain.

Awang Azman berkata dia terkejut dengan kenyataan Idrus itu yang mengatakan usul undi percaya boleh mengatasi kuasa mutlak Agong.

“Adalah lebih baik untuk tidak membuat kenyataan bertentangan dengan pihak Istana Negara,” katanya yang merujuk kenyataan negara selepas pelantikan Ismail sambil berkata perdana menteri baharu itu perlu berdepan usul terbabit untuk membuktikan sokongan majoritinya.

Awang Azman berkata Ismail mungkin memberi tekanan terhadap hubungan antara Istana Negara dan kerajaan sekiranya beliau tidak akur dengan titah Agong.

“Ini akan mengundang reaksi negatif daripada rakyat serta ahli politik dan ini tidak baik untuk kestabilan politik negara,” katanya.

Ahli akademik Azmi Hassan berkata Ismail harus mengelakkan stigma yang sama dihadapi oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin apabila enggan berdepan usul undi percaya.

Dia menasihatkan Ismail supaya tidak menangguhkan pembentangan itu kerana beliau mungkin masih mempunyai sokongan daripada 114 Ahli Parlimen menerusi akuan berkanun (SD) yang dihantar kepada Agong selepas peletakan jawatan Muhyiddin.

Pakar undang-undang tidak bersetuju dengan Peguam Negara

Pakar perlembagaan Bastian Pius Verdagon tidak bersetuju dengan Idrus mengenai kuasa budi bicara Agong untuk melantik perdana menteri.

Katanya, baginda boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mungkin boleh mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

“Tetapi hanya Dewan Rakyat yang boleh menentukannya secara konklusif dengan membuat undian terhadap usul orang yang mempunyai kepercayaan itu.”