Taliban mengesahkan pihaknya bakal membentuk kerajaan dan akan menjalin kerjasama dengan negara- negara lain dalam beberapa hari lagi.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid selepas mengesahkan kumpulan itu berjaya menawan Panjshir hari ini Dan proses pembentukan kerajaan sementara ketika ini sedang dilakukan.

Mujahid berkata, kerajaan baharu ini bersifat menyeluruh dan berharap rakyat Afghanistan membantu kepada kelancaran peralihan kuasa negara itu.

Bekas pegawai tentera Afghanistan turut dialu-alukan bergabung dengan jabatan keselamatan negara, tambahnya.

Sementara itu, tiada korban jiwa membabitkan orang awam dilaporkan ketika pertempuran di Panjshir, sambil menambah bekalan elektrik dan internet akan beroperasi semula dalam masa terdekat.

Taliban mengisytiharkan peperangan tamat di Afghanistan, dan lapangan terbang Kabul akan berfungsi sepenuhnya tidak lama lagi, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai bersabar ketika kumpulan itu berusaha memulihkan semula perkhidmatan penerbangan antarabangsa.

Panjshir terletak kira-kira 200 kilometer di utara Kabul, adalah wilayah terakhir ditakluk Taliban sejak pengunduran tentera Amerika Syarikat pada akhir Ogos.