Kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha memerangi musuh COVID-19 bagi menubuhkan hospital medan hanya menunggu kata dua daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ATM turut mengambil pendekatan melakukan kempen serangan bagi memerangi musuh virus COVID-19 di negeri-negeri yang diperlukan.

“Saya sebut baru-baru ini bahawa hospital medan akan segera ditambah di negeri-negeri yang memerlukan.

“ATM kini hanya tunggu lampu hijau KKM untuk diatur gerak. Menerusi apa juga cara, ATM akan peranginya demi nyawa rakyat, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan tanah air,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menyentuh perkembangan semasa, Hishammuddin berkata, hospital medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, sudah beroperasi selama 79 hari sejak ia ditubuhkan.

Menurutnya kemudahan kesihatan berasaskan konsep tentera itu dapat memuatkan 80 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU), sejak dibuka pada 21 Jun lalu.

“Alhamdulillah, dengan kepakaran pasukan perubatan ATM, seramai 944 pesakit COVID-19 menerima rawatan di hospital medan ini yang mana 877 sudah sembuh sekali gus dibenarkan pulang.

“Saya amat bangga dan hargai kesungguhan anggota Tentera Darat Malaysia, khususnya daripada Kor Kesihatan Diraja yang sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas setiap masa demi membantu pasukan KKM perangi COVID-19.

“Semestinya usaha sama ATM-KKM ini akan terus diperkukuh,” katanya.

Tamat