10 Sasaran kerja wajib dicapai dalam tempoh 100 hari bagi menyelesaikan masalah sektor alam sekitar, air serta pembetungan.

Menterinya Alam Sekitar,Dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kementeriannya menetapkan untuk menggubal kerangka Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dan struktur asas Pusat Inventori GHG Negara serta membangunkan rangka kerja skim perdagangan karbon domestik.

“Seterusnya, kita akan melancarkan ‘Malaysia Plastics Sustainability Roadmap’. Ini perlu, biarpun kita letakkan sasaran pada 2030, tiada lagi penggunaan plastik sekali guna tapi roadmap ke arah itu mesti kita rangka dan kita yakin mencapai hasil dalam tempoh ditetapkan.

“(Sasaran KASA) seterusnya adalah melancarkan Green Jobs Portal bagi menjana peluang pekerjaan dalam sektor pertumbuhan ekonomi hijau,” katanya ketika membentangkan sasaran 100 kementeriannya pada sesi amanat menteri yang disiar secara maya di Facebook rasmi KASA hari ini.

Beliau berkata bagi sektor air dan pembetungan pula, KASA akan membangunkan mekanisme penetapan tarif air yang adil dan telus, bagi memastikan semua operator air dapat memberi perhatian pada perkara berkenaan sekali gus dapat membekalkan bekalan air yang baik kepada rakyat.

Jelasnya kementerianya akan meluaskan penggunaan sumber air pulih guna untuk industri, di mana ia antara usaha dan inisiatif sangat positif kepada persekitaran apabila air boleh guna yang dirawat digunakan kembali bagi manfaat semula pihak industri.

“Kita juga mensasarkan lima kawasan baru bagi projek Wakaf Air. Kita juga mendapat permintaan pelbagai pihak, yang kita perlu teliti bersama Jabatan Wakaf Kebangsaan pada beberapa perkara antaranya kita meletakkan sasaran di peringkat awal untuk projek yang kita mahu bangunkan mesti RM50,000 ke bawah,” katanya.

Selain itu katanya, KASA juga menyasar untuk meluaskan kawasan liputan bekalan air dan pembetungan termasuk Loji Rawatan Air (LRA) yang sudah usahakan.

“Baru-baru ini saya sudah turun ke Kelantan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melihat loji air di Kampung Teluk dan ia diletakkan sasaran untuk disiapkan dalam kadar segera, disamping pengambilalihan pengurusan lot pembentungan di Pasir Gudang, Johor dalam sasaran kita untuk tempoh 100 hari ini.

“Kita juga meletakkan sasaran untuk meningkatkan kadar rizab margin air nasional. Sekurang-kurangnya bila berlaku pencemaran, kita ada rizab air yang boleh kita bekalkan supaya pengguna terus menikmati bekalan air dan ini perlu ditingkatkan margin rizab air sedia ada,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, 100 hari ini sebagai satu penunjuk prestasi yang perlu ditunjukkan semua pihak dan ia adalah waktu yang sibuk serta mencabar bagi warga kementeriannya dalam mencapai sasaran ditetapkan.

“Kita akan tetap laksana usaha pencegahan undang-undang dan pencemaran, meminda akta yang relevan berhubung soal pencemaran serta memastikan semua projek kritikal, tebatan banjir dan pembaikan hakisan pantai dilaksanakan mengikut jadualnya.

“Memenuhi obligasi antarabangsa dan pembudayaan rakyat serta agensi tentang kelestarian alam, ini juga antara tugas yang sentiasa berjalan di peringkat kementerian,” katanya.

Tamat