Bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2021 yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Okt ini ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu pada 15 hingga 18 Nov ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara bertarikh 6 Sept lepas.

Menurut beliau, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 15 Ogos telah membuat satu keputusan berkaitan pembukaan sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Okt ini secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan mengikut perincian Pelan Pemulihan Negara.

Selaras dengan keputusan tersebut, Idris berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membuat keputusan untuk pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK bermula pada tarikh yang sama mengikut ketetapan tersebut.

“Adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin serta persediaan pusat peperiksaan, dimaklumkan peperiksaan UPKK tahun 2021 bagi subjek bertulis yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Okt ini ditangguhkan,” katanya tadi.

Peperiksaan UPKK 2021 melibatkan calon UPKK 2020 dan 2021.

Pada 11 Nov tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata ujian UPKK 2020 akan dilakukan serentak dengan UPKK 2021 pada 4 hingga 7 Okt 2021.

Zulkifli dilaporkan berkata keputusan itu dilakukan oleh Jakim selepas mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan ia melibatkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran.

Sementara itu, Idris berkata Jakim dengan kerjasama semua agensi telah menyediakan pelan tindakan demi memastikan UPKK dapat dilaksanakan dan berjalan lancar.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan,” katanya.

Idris berkata ketetapan telah dibuat bahawa hanya petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan bertugas di semua pusat peperiksaan.

Tamat