Jika sudah dikatakan rezeki, pastinya dapat semula apabila barang kemas yang terbuang ke dalam tong sampah tanpa sengaja dijumpai semula dengan bantuan pekerja pembersihan.

Kejadian ini mengundang berbagai komen daripada netizen, apabila video berkenaan tular di laman sosial menunjukkan kerja-kerja pencarian barang kemas bernilai RM 70,000 itu dijumpai semula hasil kerjasama berkenaan pekerja Environment Edaman.

Video yang berdurasi sekitar tiga minit itu, membuatkan netizen memuji usaha kakitangan berkenaan membantu mencari barangan kemas wanita berkenaan.

Usaha itu bagaimanapun membuahkan hasil apabila barang kemas yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit diletakkan dalam sebuah kotak hijau ditemui semula dalam timbunan sampah.

Seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Mat, 40-an berkata, wanita berkenaan datang ke depoh untuk meminta bantuan mencari barang kemas yang hilang dikatakan telah dibuang tanpa sengaja ke dalam tong sampah.

Menurutnya, kerja-kerja memunggah sampah dilakukan kira-kira jam 8 pagi dibantu pekerja pembersihan setelah wanita itu datang meminta bantuan.

“Menyedari wanita itu datang meminta bantuan, atas budi bicara kita cuba untuk mencari barang kemas yang dikatakan hilang,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

“Dia bernasib baik kerana sampah dikutip di tempat tinggal wanita itu adalah trip terakhir kutipan semalam, jadi tak banyak yang perlu dipunggah,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini wanita itu telah ke lokasi pelupusan sampah di Kulim, namun sampah yang dikutip dari lokasi rumahnya masih belum tiba.

“Disebabkan itu, dia datang ke depoh untuk mencarinya di sini,” jelasnya bahawa ia kejadian pertama pencarian barang kemas yang hilang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit dalam timbunan sampah.

“Kami faham, barang yang hilang adalah barang berharga, jadi kita bantu, Alhamdulillah jumpa, kalau tidak, jenuh juga tanggung kerugian besar,” katanya.

Tamat