Akibat lalok khayal seorang lelaki memanjat kereta peronda dan bertindak dijangkaan dengan aksi menyabit sambil memegang parang di hadapan Balai Polis Gopeng, tadi.

Lelaki berkenaan walaubagaimanapun dapat dikawal dengan bantuan pihak bomba, polis dan ternyata positif dadah jenis heroin serta syabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan lanjut mendapati suspek berusia 61 tahun itu turut mempunyai 16 rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

Menurutnya, suspek memasuki kawasan balai berkenaan dengan menunggang motosikal yang dirampas daripada orang awam di Pasar Awam Lawan Kuda di sini.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, suspek yang membawa parang dan sabit bersamanya dilihat melibas senjata itu di hadapan pintu masuk balai sebelum keluar menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.

“Pergerakan suspek bagaimanapun disekat dan sebuah MPV polis diletakkan di tengah jalan bagi tujuan menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit.

“Suspek kemudian meluru dengan memanjat bumbung MPV serta melibaskan parang dan sabit bagi mengelakkan dirinya didekati polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mior Faridalathrash berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng membantu polis melakukan tangkapan dengan menyembur air ke arah suspek sebelum jatuh di atas jalan.

“Suspek didapati mengalami kecederaan daripada proses tangkapan tersebut. Tiada anggota cedera dalam kejadian itu.

“Turut dirampas ialah sebilah parang, sabit panjang, sebuah motosikal dan empat anak kunci. Permohonan reman akan dilakukan esok (Khamis),” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semburan air dilakukan bagi meredakan tindakan lelaki yang turut memegang sebilah parang ketika berdiri di atas kereta peronda polis.

Tamat