Sekali lihat, ianya seakan aksi filem, aksi drift serta bergaduh, namun itulah yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kuala Ketil dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi semalam, sebuah kereta dipandu suspek membuat aksi ‘drift’ di kawasan tempat letak kereta PPV berkenaan sehingga mengganggu dan mendatangkan bahaya kepada orang awam yang hadir untuk menerima vaksin.

Berikutan itu, berlaku pergelutan antara kedua suspek bersama orang awam sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan berkenaan.

Seorang daripada suspek turut bertindak mengeluarkan kayu golf dan membuat ugutan jenayah terhadap seorang lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan itu.

Akibat perlakuan kekacauan berkenaan satu perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Mahkamah Baling, Mohd Izmi Ibrahim, yang mendapat permohonan polis bagi menahan dan menyiasat suspek berusia 19 dan 27 tahun berkenaan.

Kedua-dua suspek yang akan ditahan sehingga Sabtu ini, disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958.

Bagaimanapun, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling tiba di lokasi bagi menahan suspek berusia 19 tahun pada jam 12.30 tengah hari.

Tidak lama selepas itu, polis menahan seorang lagi rakan suspek berusia 27 tahun di sebuah rumah di Ladang Kupang untuk membantu siasatan.

Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis merampas kayu golf dan kereta Proton Saga yang diguna dalam kejadian itu.

Tamat