Institusi Sekolah Agama Rakyat, Tahfiz, dan Pondok pastinya menarik nafas legs apabila kerajaan memperuntukkan RM 60 juta, bagi membantu mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Idris Ahmad bersama timbalannya, Datuk Ahmad Marzuki turut berpuas hati selepas mendengar taklimat bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusuh kelmarin.

“Ini adalah sebahagian dari usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), supaya institusi pendidikan Islam mampu berdiri utuh di sebalik cabaran yang melanda,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, semalam

Menurutnya, selain penguatkuasaan, pengukuhan aspek pendidikan juga merupakan suatu nadi yang penting dalam memartabatkan Islam.

Tambah beliau, tanpa institusi pendidikan, Islam tidak akan mampu berdiri utuh, kerana tiada insan yang mampu mengamalkan nilai ajaran Islam itu sendiri

Katanya, beliau bersyukur atas usaha JAKIM yang terus menerus mempergiatkan usaha pengukuhan institusi pendidikan Islam, dalam menyelaras dan mentadbir Hal Ehwal Islam di Malaysia.

Peranan JAKIM, ujarnya amat diperlukan bagi memastikan syiar Islam terus dijunjung sebagai agama Persekutuan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan di dalam taklimat itu supaya penekanan turut diberi kepada pemerkasaan akidah Islam yang sebenar.

Ini, ujarnya supaya masyarakat difahamkan berkenaan pemahaman akidah yang sebenar berdasarkan dalil dan hujah yang sahih.

“Semoga dengan usaha ini, nilai-nilai Islam akan terus berkembang dan meresap ke dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. – 

Tamat