Amerika Syarikat membenarkan semula Top Glove Corporation Bhd bagi menyambung semula eksport sarung tangan selepas ditohmah oleh barat berkenaan isu buruh paksa.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS yang berkuat kuasa hari ini menarik semula perintah berkenaan selepas tiada penemuan bukti sahih terhadap isu itu.

Top Glove dalam kenyataannya berkata, menerusi satu makluman di pautan https://public-inspection.federalregister.gov/2021-19535.pdf, CBP mengesahkan bahawa sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan syarikat itu di Malaysia akan dibenarkan di semua pelabuhan masuk AS mulai hari ini.

“Kami menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada CBP di atas maklum balasnya terhadap modifikasi dalam penemuan.null

“Top Glove juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pemegang taruh syarikat yang dihargai di atas sokongan serta pemahaman mereka di atas perkara ini,” katanya.

Pengeluar sarung tangan itu berkata, ia komited terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kakitangannya.

“Syarikat akan terus bekerja keras ke arah menjadi penerajui industri dalam bidang ini dan mencapai jangkaan pemegang taruh yang semakin meningkat,” katanya.

Mei lalu, CBP AS merampas 3.97 juta sarung tangan getah nitril bernilai RM2.13 juta (AS$518,000) yang dihantar oleh anak syarikat Top Glove.

CBP AS sebelum ini mengarahkan pegawainya di semua pelabuhan masuk negara itu menahan produk sarung tangan pakai buang yang dihasilkan Top Glove.

Ia susulan daripada dakwaan CBP AS produk tertentu oleh Top Glove dihasilkan menerusi penggunaan buruh paksa dan diimport, atau akan, diimport ke AS.

Penyitaan itu adalah isyarat CBP AS tidak akan bertolak ansur dengan produk import yang didakwa dihasilkan oleh buruh paksa dan mengancam ekonomi.

Tamat