PADANG RENGAS: DAP disifatkan ‘cakap tak serupa bikin’ apabila menuntut jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kerana tidak berbuat demikian semasa menjadi kerajaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, UMNO tidak akan memberi peluang kepada pembangkang untuk jawatan itu yang memberikan alasan mahu melakukan reformasi Parlimen.

“Apabila sampai kepada kami berkuasa, kamu (pembangkang) minta macam-macam. Waktu kamu berkuasa dulu, ada yang diberi pada kami?

“Kita tak akan bagi langsung peluang kepada mereka (pembangkang) kononnya untuk melakukan reformasi Parliman yang mana waktu mereka (jadi kerajaan) dahulu, mereka tidak pernah pun fikir untuk berbuat demikian.

“Kita akan melakukan reformasi Parlimen jika ada perkara- perkara yang kami setuju dan memang sesuai, yang itu kita akan buat, bukan kerana atas paksaaan atau desakan mereka (pembangkang),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua cawangan-cawangan UMNO Padang Rengas di sini hari ini.

Mohamed Nazri turut menyelar pembangkang kerana memberi komen buruk terhadap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dicalonkan untuk jawatan tersebut menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan.

Menurutnya, UMNO sendiri tidak memberikan apa-apa komen terhadap calon pembangkang, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

“Mereka (pembangkang) ada hak untuk kemukakan calon tapi tiada hak nak komen tentang calon kami. Saya tidak setuju apabila pembangkang beri komen tentang Ahmad Maslan.

“Kami pun tak komen apa-apa pun tentang Nga Kor Ming. Pembangkang tak ada hak nak komen tentang calon kami kerana yang menentukannya ialah Ahli Parlimen, buat apa nak buruk-burukkan orang,” katanya.

Sebelum ini, DAP mendesak kerajaan mempertimbangkan Kor Ming dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggantikan Azalina.

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, jawatan tersebut wajar diberikan kepada pembangkang sebagai usaha memastikan pembaharuan insititusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik manakala UMNO pula mencalonkan Ahmad namun ia dikritik pembangkang.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Ahmad masih terpalit dengan kluster mahkamah dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 pada 21 Januari tahun lalu. – UTUSAN ONLINE