Pihak Israel sekali lagi mencabar hak umat Islam, apabila melarang aktiviti solat di Masjid Ibrahimi di bandar Hebron ketika orang Yahudi menyambut tahun baharu.

Tidak cukup sekadar itu, kawasan suci orang Islam turut dibuka kepada penduduk Israel di situ untuk aktiviti riadah.

Agensi berita Wafa melaporkan, tindakan itu dikecam pegawai Palestin yang menyifatkannya sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan kebebasan beriadah.

Pengarah Masjid Ibrahimi, Sheikh Hafthi Abu Sneinah, berkata Israel menghalang Palestin memasuki kawasan suci itu dan kawasannya ketika penduduk haram itu bersiap untuk memperingati cuti Tahun Baharu Yahudi, Rosh Hashanah.

“Ia jelas mengguris perasaan orang Arab dan Muslim, pelanggaran kebebasan beragama dan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa,” ketua Jawatankuasa Eksekutif jabatan hak asasi manusia Organisasi Pembebasan Palestin, Ahmad Tamimi.

Menurutnya Kota Lama Hebron meliputi Masjid Ibrahimi.

Ia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2017.

Masjid itu menempatkan makam Nabi Ibrahim, Ishak dan Yaakub, serta isteri mereka, dan suci bagi umat Islam serta Yahudi.

Ia menjadi kawasan yang ‘tegang’ selama beberapa dekad, terutama selepas pendudukan Israel yang mengambil alih lebih banyak ruang solat untuk digunakan oleh pendatang Yahudi.

Secara keseluruhan, lebih 200,000 penduduk Palestin tinggal di Hebron, berbanding hanya beberapa ratus pendatang haram Yahudi yang tidak hanya lengkap bersenjata tetapi juga dilindungi sejumlah besar tentera Israel.

Tamat