Usaha Majlis Bandaraya Bersejarah Melaka (MBMB) melestarikan bandar berkenaan berbaloi apabila memenangi anugerah khas, ‘Jean Paul L’allier Prize For Heritage’ anjuran Pertubuhan Bandar Warisan Dunia (OWHC) yang berpangkalan di Quebec, Kanada dalam satu majlis penyampaian hadiah secara dalam talian di sini malam tadi.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, anugerah yang diberikan setiap dua tahun sekali itu dimenangi negeri ini menerusi projek dilaksanakan iaitu Penambahbaikan dan Pemuliharaan Persekitaran di Bandaraya Melaka Bersejarah menerusi beberapa komponen projek bernilai RM10.4 juta sejak tahun 2012 dan berterusan sehingga kini.

Beliau berkata, anugerah berkenaan yang turut dimenangi bersama Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang bertujuan mengikitraf dan menghargai bandar menunjukkan usaha pemuliharaan harta warisan budaya dan akan menjadi rujukan serta pemangkin kepada masyarakat antarabangsa.

“Penganugerahan daripada OWHC ini membuktikan Melaka kekal dalam senarai teratas aspek bandaraya warisan dan faktor utama yang menyumbang kepada penganugerahan ini ialah pelaksanaan kerja memperindahkan dan menyediakan fasiliti serta infrastruktur di zon utama tapak warisan dunia antaranya aspek pencahayaan, mural, landskap dan perparitan.

“Komponen projek ini antaranya membabitkan penyediaan lebih banyak ruang terbuka untuk orang ramai dan laluan pejalan kaki sebagai perkongsian ruang dengan pengguna jalan selain menghubungkan lorong belakang sebagai laluan alternatif pejalan kaki,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman anugerah itu di Pejabat Datuk Bandar MBMB, lewat malam tadi.

Anugerah khas ‘Jean Paul L’allier Prize For Heritage’ disertai 11 bandar dunia iaitu Cidade Velha (Cape Verde), Cuenca (Ecuador), Georgetown (Malaysia), Hue (Vietnam), Krakow (Poland), Kutna Hora (Republik Czech), Luxembourg (Luxembourg), Melaka (Malaysia), Mexico City (Mexico), Queretaro (Mexico) dan Safranbolu (Turki).

Zainal berkata, projek berkenaan dijalankan di Jalan Hang Jebat, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Lorong Hang Jebat, Jalan Kampung Pantai, Jalan Kampung Huli, Jalan Kuli, Jalan Tukang Emas dan Jalan Tokong.

Projek itu juga jelasnya menjadi model bagi MBMB menyediakan perancangan terperinci untuk kawasan tapak warisan dunia, menyusun rancangan peningkatan dan secara tidak langsung menjalinkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri, majlis bandaraya, agensi negeri serta masyarakat setempat untuk bekerjasama dalam meningkatkan imej bandar warisan tanpa menjejaskan tempat berkenaan. 

Tamat