Tujuh sekatan jalan raya (SJR) telah ditamatkan semalam, oleh Polis Diraja Malaysia, di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, A Asmadi Abdul Aziz, berkata semua sekatan jalan raya itu ditamatkan pada jam 12.01 tengah malam.

Selepas ini, dengan penamatan sekatan jalan raya itu, tidak bermaksud pihak polis akan berhenti memerangi COVID-19, malah lebih serius dan menumpukan tugas menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai.

“Operasi pematuhan akan dipergiatkan dengan penambahan anggota bagi memastikan orang ramai yang memasuki pusat pentadbiran kerajaan ini mematuhi SOP sama ada bagi tujuan riadah atau pelancongan domestik,” katanya kepada media ketika memantau penutupan sekatan jalan raya, malam tadi.null

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis IPD Putrajaya, Superintendan Mohd Hafiz Samsudin.

Sekatan jalan raya terbabit ditamatkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Tujuh sekatan jalan raya yang ditamatkan itu berada di Lebuh Sentosa Hala Keluar Ke Mex Highway; Persiaran Selatan Hala Keluar Ke Dengkil (Presint 5); Pintu 2A, Persiaran Utara Hala Keluar Ke Hospital Serdang di Presint 12 dan Pintu 3, Persiaran Utara Hala Keluar Ke Puchong di Presint 9.

Ia termasuk di Jalan Presint 5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil; Jalan Resam Hala keluar dan masuk Presint 11 dan Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya di Presint 11.

Turut ditutup di Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab Bangi di Presint 14; Pintu Satu, hala keluar dan masuk di Presint 14; Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral di Presint 7 dan Jalan P5, menghala ke Dengkil di Presint 5.

Asmadi berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perbadanan Putrajaya (PPj), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi berkaitan yang bekerjasama sepanjang tempoh sekatan jalan raya diadakan.

Tamat