Pengerusi Majlis Pemulihan Nasional (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak secara tegas, untuk menolak ketepi semua polemik politik, bagi usaha memerangi COVID-19 dan membina semula ekonomi, kata

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia bersatu padu. Kita mesti mengetepikan semua perbezaan sama ada dari segi politik, perniagaan, masyarakat atau keluarga untuk menggabungkan kekuatan kolektif kita dalam usaha memerangi COVID-19,” katanya dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Nasional semalam yang berlangsung secara maya.

Pengerusi MPN yang baharu dilantik itu berkata, majlis berkenaan mengambil pandangan dan cadangan dikemukakan pada sidang kemuncak itu dan meneliti maklum balas diterima secara menyeluruh.

“Ini adalah pendekatan inklusif membabitkan seluruh masyarakat berganding bahu dalam peperangan ini. Oleh itu, penyertaan kerajaan, sektor swasta, NGO (badan bukan kerajaan), doktor, petugas kesihatan dan sukarelawan penting sekiranya kita ingin berjaya,” katanya.

Muhyiddin berkata, kemunculan varian Delta COVID-19 baru-baru ini, yang penyebarannya lebih pantas dan jauh lebih berbahaya adalah penyebab di sebalik lonjakan kes bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia termasuk Asia Tenggara.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak boleh leka dan perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman virus yang terus mengancam negara.

“Kita perlu terus meningkatkan pengurusan pandemik COVID-19 terutama dalam memanfaatkan teknologi baharu dan secara konsisten meningkatkan keupayaan tindak balas fizikal serta digital dalam menguji, mengesan dan mengasingkan,” katanya. –

Tamat