Bimbang berlaku sesuatu, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida, Ahmad Iqbal, memohon DSV supaya dapat berterus-terang berkenaan hajat mereka untuk mendirikan rumah tangga kepada anak-anaknya.

Jejaka 27 tahun itu, memohon supaya tidak merahsiakan hubungan dan matlamat mereka kerana bimbang bakal mengganggu emosi mereka kelak.

“DSV kena terus terang tentang hubungan kita ini, dari awal saya minta dia jujur cerita dekat keluarga sebab saya dah main perasan dan dia juga kena main peranan sebagai ibu.

“Sejak dulu lagi DSV tak terbuka berkongsi dengan anak-anak mengenai hubungan kami. Sepatutnya jujur sahaja dengan Cik B tak perlulah sampai kantoi mesej sayang-sayang dulu.

“Saya kasihankan Cik B. Saya faham dia dalam dilema kerana perlukan perhatian ibu kerana pernah melalui sejarah masakecil berbeza dengan remaja lain sebab itu saya kena fikir perasaan dia juga,” katanya.

Menurut Iqbal, dia mempunyai hubungan baik dengan kedua anak Vida dan sering bertanya khabar. Namun, sejak kebelakangan ini Cik B berubah sikap dan kurang bercakap sejak gosip ibunya tular.

“Saya dengan Cik B memang baik, tiada sebarang masalah sejak dulu lagi cuma sejak kebelakangan ini dia banyak mendiamkan diri.

“Kalau dulu timbul gosip tentang saya dan ibunya, dia akan marah tapi kali ini dia diam sahaja. Bila dia terlalu diam pun saya takut juga.

“Sebelum ini saya ada mesej dia tapi tak berbalas. Saya dah bincang dengan Vida katanya dia perlukan sedikit masa. Sejujurnya ini salah satu perkara yang saya risau, penerimaan anak-anak terhadap saya,” katanya.

Mengulas mengenai majlis perkahwinan, Iqbal berkata mereka akan berkongsikan lebih lanjut tidak lama lagi. Ujarnya mereka sudah ada beberapa tarikh, lokasi dan tema perkahwinan.

Terdahulu, Vida berkata dia belum mempunyai keberanian untuk berbincang mengenai hal perkahwinannya dengan anak-anak terutamanya dengan Cik B.

Tamat