Hargai petugas kesihatan, dengan beri cuti tambahan bagi menangani tekanan terhadap mereka ketika membendung wabak COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata selain cuti tambahan itu, pihaknya juga akan menggerakkan unit psikologi untuk melaksanakan sesi kaunseling kepada mereka yang tertekan.

“Kita akan lihat bagaimana untuk kurangkan beban mereka (petugas kesihatan), namun jika dilihat kejayaan di Lembah Klang apabila vaksinasi dah berjaya, kita mula lihat kapasiti pesakit kritikal di hospital agak menurun dan memberikan kelegaan kepada petugas barisan hadapan.

“Jadi kita akan meneruskan usaha dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan kesihatan awam, yang mampu menyumbangkan penurunan (jumlah kes) dan (kurangkan) tekanan terhadap petugas kesihatan,” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.

Dalam satu laporan akhbar tempatan, melaporkan lebih 70,000 petugas kesihatan dikesan menghadapi gangguan emosi selepas ‘dikerah’ melawan wabak COVID-19 secara berterusan sejak 20 bulan lalu.

Gangguan emosi itu juga jelas dapat dilihat menerusi perkongsian beberapa petugas kesihatan menerusi laman sosial dengan ada daripadanya mengaku menangis setiap hari berdepan dengan bebanan berkenaan.

Koordinator Pasukan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (MHPSS) Perkhidmatan Psikiatri KKM, Dr Nurul Nadia Ismail mendedahkan sebanyak 75,078 pertolongan cemas psikologi (PFA) diberikan kepada petugas kesihatan KKM antara januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, purata lebih 10,000 PFA sebulan itu adalah peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu yang merekodkan 64,477 PFA atau purata 5,000 sebulan kepada anggota kesihatan KKM dan beberapa pesakit COVID-19.

Dalam pada itu, Khairy meminta petugas barisan hadapan ini untuk bertahan untuk beberapa minggu lagi.

“Mesej yang ingin disampaikan oleh saya dan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) ialah, ada cahaya di hujung terowong. Harap mereka (petugas kesihatan) bertahan beberapa minggu lagi (sebelum kes kritikal dijangka berkurangan),” katanya.

Tamat