Umat Islam harus sensitif dengan sebarang ideologi baru tersebar. Sekiranya wujud sesuatu isu, rakyat merujuk kepada yang pakar kata, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

“Ajaran sesat dalam sejarah, ia berlaku sepanjang zaman. Apabila sentiasa ada, menjadi tugas dan tanggungjawab semua, bukan ulama sahaja.

“Kita kena sensitif dengan perkara sebegini, dan masyarakat umum, setiap benda, supaya tidak sesat, dia perlu merujuk kepada pakar,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, beliau yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ll  itu memuji sensitiviti umat Islam di Malaysia yang peka terhadap sebarang perilaku atau ideologi pelik yang cuba untuk disebarkan pihak luar.

“Alhamdulillah, dalam negara kita ini, ajaran sesat tidak (muncul) jadi (isu) besar. Terima kasih banyak kepada pejabat-pejabat agama, majlis-majlis agama dan rakyat kita secara umum.

“(Masyarakat) kita ini sensitif apabila sebut benda pelik sikit. Tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang agak ganjil dan baharu, yang sensitif. Sedangkan, ia  sebenarnya adalah ilmu, (itu pun) kita sensitif juga. Itu (ialah) kerana kejahilan kita.

“Alhamdulillah, kita sensitif sehingga menyebabkan apa jua ajaran sesat, tidak akan dapat berkembang dan bertapak di Malaysia, ia akan hancur dan ada tindakan diambil,” ujarnya.

Berdasarkan pemerhatiannya, kata Dr Nik Zawawi, kemunculan ajaran sesat berkait rapat dengan kesedaran Islam.

“Sekiranya masyarakat di sesuatu tempat itu mempunyai kesedaran Islam yang tinggi, mustahil untuk ajaran sesat berjaya membawa dakyah mereka. Ini kerana kebiasaannya, ajaran sesat menguasai kumpulan manusia yang kurang ilmu agama,” katanya. 

tamat