Pastikan tiada lagi amalan khurafat berlaku di Gunung Jerai, yang sebelum ini dikatakan mempunyai mistik tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas berhubung dengan amalan khurafat yang sebelum ini berlaku di kawasan berkenaan.

“Kita harapkan benda ini terhenti, ini kerana bila datangnya bala Allah, dia tak kena pada orang yang buat itu sahaja, dia datang bala semua kena.

“Sebab itu ada sahabat tanya Nabi, dia tanya adakah orang baik akan kena kalau datang bala? Nabi kata ya, termasuk juga kamu, cuma esok kamu akan dibangkitkan, berdasarkan kepada niat mereka maksudnya orang baik akan dibangkitkan dalam keadaan baik, manakala orang yang buat benda tidak baik, mereka itu akan menerima hukuman,” katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan kesan kejadian kepala air di Titi Hayun, semalam.

Menurutnya umat Islam perlu perlu kembali ke jalan akidah yang betul kerana aktiviti pemujaaan ini menggadaikan akidah dan bertentangan dengan ajaran sebenar.

Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja boleh merosakkan akidah seseorang malah berkemungkinan menjadi punca kepada berlakunya kejadian bencana atau bala di satu-satu lokasi.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa Pejabat Agama Daerah serta Majlis Agama Islam Negeri Kedah telah dan akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi mengelakkan amalan itu dari terus berlaku dan berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Idris turut menyifatkan peranan besar juga telah dimainkan guru-guru agama, dan alim ulama di Kedah sebelum ini dalam memastikan masyarakat faham akan kesan perbuatan khurafat dan pemujaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Idris menyatakan bahawa bermungkinan besar bilangan jemaah yang dibenarkan memasuki masjid akan ditambah dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ia sebelum ianya dipanjangkan bagi mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri.

Tamat