Masjid kini bertindak sebagai pusat mangsa transit mangsa keganasan seperti mana khalifah terdahulu .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata langkah ini membolehkan fungsi sesebuah masjid itu dikembangkan dan tidak hanya sebagai pusat beribadah semata-mata dan ia telahpun dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh diperluas ke negeri lain.

“Kita boleh cadangkan untuk diperluas ke negeri lain, cuma kita ada pihak berkepentingan sendiri. Kita tidak boleh langgar batasan. Untuk laksanakan (perkara ini) perlu ada perbincangan antara kerajaan negeri, jabatan agama dan pihak Istana.

“Fungsi masjid seharusnya boleh menjadi pusat sehenti, ada pusat perniagaan, bukan untuk solat sahaja. Zaman kegemilangan Islam dahulu, masjid adalah satu pusat pembinaan tamadun dalam sesebuah negara,” katanya selepas menyampaikan bantuan dalam satu program di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah JAWI dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menggerakkan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik adalah tepat memandangkan institusi masjid merupakan pemudah-cara pembinaan keluarga Islam.

Menurut laporan media, Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail berkata program tersebut yang dilancarkan pada Mei lepas, terbuka kepada lelaki dan wanita, termasuk individu bukan Islam, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Tamat