Positif ujian COVID-19, menyebabkan 28 individu, termasuk Senator dan Ahli Parlimen dilarang hadir ke sidang Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke -14, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan semalam dan kelmarin.

Sebelum ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyaring 1,801 individu di Kompleks Parlimen pada 10 dan 11 September lalu.

Hasil siasatan awal mendapat semua individu positif lengkap vaksinasi dan 15 daripada mereka adalah kes disahkan COvid-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei 2021 hingga 1 September lalu, manakala 13 individu pula baharu sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan pada 10 sehingga 11 September.

“Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi dengan nilai CT value atau nilai kitaran ambang di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT value di antara 21.95 sehingga 38.23,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Ujian PCR ‘genotyping assay’ yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah Varian Beliau berkata, bagi mengesahkan jenis varian itu, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mula menjalankan penjujukan genom Covid-19.

“Langkah diambil bagi kes dikesan positif ialah individu kali pertama disahkan positif ini (13 kes) tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen.

“Mereka diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO). Siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenalpasti kontak rapat.

“Manakala Individu pernah disahkan Covid-19 sebelum ini (15 kes), akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat dalam kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan.

Menurutnya, buat masa ini, mereka tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian KKM.

Katanya, bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid- 19 sepanjang persidangan berkenaan, KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) membangunkan beberapa Prosedur Amalan Standard (SOP).

“Antaranya individu yang hadir perlu menerima vaksinasi lengkap (lebih 14 hari dari tarikh dos terakhir) ; menjalani ujian saringan Covid-19 secara Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam masa tiga hari sebelum memasuki Kompleks Parlimen Malaysia (kali pertama sahaja).

“Sepanjang tempoh Persidangan Parlimen berlangsung semua yang hadir perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan Covid-19 seperti ditetapkan Parlimen.

“Selain itu, individu hadir perlu mengimbas Kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum menggunakan ruang, bilik dan tandas; memeriksa suhu badan di pintu masuk Parlimen; mengamalkan pemakaian pelitup muka [digalakkan untuk memakai pelitup muka berganda (double face mask) dan pelindung muka (face shield)].

“Selain itu, mencuci tangan pada setiap masa; mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter; mengelakkan 3S (Sesak, Sempit dan Sembang dengan jarak dekat); dan mengamalkan 3W (Wash, Warn and Wear),” katanya.