KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong hari ini mendedahkan baginda telah menerima ratusan pucuk surat yang diutus oleh rakyat susulan kegelisahan sepanjang pendamik COVID-19.

Bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah surat tersebut mengandungi rintihan penuh duka rakyat yang mengharapkan seribu harapan.

Titah Seri Paduka Baginda lagi, rakyat jelata juga mahukan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

“Selepas lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

“Negara dan rakyat beta sudah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat yang kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14, hari ini.

Susulan itu, Seri Paduka turut menasihatkan Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Nasihat beta kepada semua ahli yang berhormat; jangan sama-sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, beta menyeru kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian, untuk mengembali kan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,”

“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah baginda.

Tamat