Bekas Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak, serta anaknya Datuk Mohd Nazifuddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mereka berdua mengemukakan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, semalam, menerusi Tetuan Shafee & Co.

Perkara itu kemudiannya disahkan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

Dalam notis itu, mereka menyatakan rayuan berkenaan dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rayuan pada 9 September lalu, yang menolak rayuan kedua-dua perayu dengan kos RM10,000 setiap seorang.

Menurut notis itu, rayuan berkenaan mempunyai merit dan terdapat isu undang-undang yang serius dan harus diberikan keputusan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan dalam konteks undang-undang cukai pendapatan dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 September lalu, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

Hakim Abdul Karim dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak melanggari Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah mempunyai kuasa kehakiman untuk mendengar dan memutuskan pertikaian di bawah Seksyen 106 walaupun dalam keadaan beberapa perkara tidak dibenarkan untuk dibangkitkan bagi pertimbangan mahkamah.

“Seksyen 106 (3) menyatakan mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang ingin didapatkan kerajaan antaranya sebagai berlebihan, dinilai secara tidak tepat, di bawah rayuan atau dinaikkan secara tidak tepat,” katanya.

Bagaimanapun dalam keputusan itu, Najib dan Mohd Nazifuddin tidak perlu membayar jumlah cukai itu berikutan panel berkenaan membenarkan permohonan kedua-dua perayu bagi penangguhan sementara pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan.

Hakim Abdul Karim yang membenarkan permohonan penangguhan itu berkata, kedua-dua perayu perlu memasukkan notis rayuan selewat-lewatnya Selasa ini dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan sementara itu luput.

Sebelum ini, Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Tamat