Peluang doktor kontrak kini lebih cerah apabila Kementerian Kesihatan (KKM) bakal diberikan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) bagi melanjutkan pengajian peringkat sarjana.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini doktor kontrak hanya boleh memohon program “parallel pathway” manakala HLP hanya untuk mereka yang berjawatan tetap.

“Kita mahu memberi kemudahan yang sama kepada doktor kontrak supaya mereka boleh mengikuti pengajian latihan kepakaran di institusi pengajian tinggi (IPTA) tempatan.

“Ini demi masa hadapan mereka dan saya rasa ini adalah perkara yang telah mereka tuntut dan nantikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut KJ berkata demikian, semasa menjawab soalan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai rancangan kerajaan untuk menjamin masa depan doktor kontrak di negara ini.

Menurutnya satu jawatankuasa khas, ditubuhkan bagi merencanakan isu melibatkan doktor kontrak, pada 20 Ogos lalu.

Melalui jawatankuasa itu bertujuan bagi menumpukan soal permohonan peruntukan kepada Kementerian Kewangan untuk HLP, mewujudkan lebih banyak jawatan tetap dan memeriksa strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan awam.

Program Hartal Doktor Kontrak mendapat liputan media apabila kumpulan itu menganjurkan protes secara aman di seluruh negara Julai lalu yang antara lain mereka menggesa aspek keselamatan pekerjaan yang lebih baik.

Mengenai kekurangan doktor, Khairy menjelaskan Malaysia tidak menghadapi masalah kekurangan doktor siswazah tetapi berhadapan masalah doktor pakar.

Katanya, ketika ini doktor di KKM adalah 6,183 pada 2019 dan kini selepas dicampur dengan doktor pakar swasta, jumlah keseluruhan adalah 13,000.

“Untuk keperluan 2030, kita memerlukan sekurang-kurangnya 28,000 tenaga pakar. Kekurangan tenaga pakar ini menyebabkan wujud masalah masa menunggu mendapatkan perkhidmatan doktor pakar di hospital tempatan.

“Justeru, KKM kini mengoptimumkan kemudahan sedia ada dan kita harap Kementerian Kewangan dapat menyediakan peruntukan khusus untuk latihan doktor pakar ini bagi menyediakan lebih ramai tenaga pakar untuk 10 tahun akan datang

“Keperluan pakar ini juga penting berikutan pertambahan pesakit bagi penyakit tidak berjangkit dan masyarakat kita semakin berusia yang pastinya ramai mahu mendapatkan kemudahan pakar, kita perlu ada pakar yang dilatih mulai sekarang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kekurangan doktor pakar kerana mereka menyertai sektor swasta yang memberikan tawaran gaji lebih baik, katanya KKM dari semasa ke semasa meningkatkan elaun kepakaran perkhidmatan awam namun memang tidak setanding apa yang ditawarkan di sektor swasta.

“Sebab itu kita memberikan kelonggaran satu hari dalam seminggu untuk doktor awam ini bertugas di sektor swasta untuk mendapatkan pendapatan tambahan, sebab itu kita sedang lihat langkah yang perlu supaya mereka kekal dalam perkhidmatan.

“Diakui ramai yang masih setia atas rasa tanggungjawab berkhidmat untuk negara kerana mereka ini mendapat latihan yang di tanggung kerajaan, kebanyakan pakar di hospital swasta juga hasil ‘kilang’ KKM,” katanya.

Tamat