Sebagai jalan mudah bagi mengimbangkan isu doktor kontrak, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), mencadangkan pendekatan pengurangan jumlah graduan perubatan setiap tahun.

Menurut MMA langkah itu wajar dilakukan berikutan perbezaan antara jumlah kekosongan jawatan dan pengeluaran graduan yang boleh dilakukan secara berperingkat, dengan penyusutan antara lima hingga 10 peratus setiap tahun bagi tempoh selama 60 bulan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai, berkata pertimbangan terhadap corak penyelesaian sedemikian tidak boleh dibuat secara drastik berikutan beberapa kekangan tertentu dan perjanjian yang sudah ditandatangani.

“Justeru, jika nak kurangkan jumlah graduan, ia perlu dibuat secara berperingkat, malah ujian kemasukan atau pengambilan mahasiswa jurusan perubatan juga boleh dilakukan,” katanya, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam dilaporkan berkata peningkatan mendadak graduan perubatan sejak 2016 dikenal pasti antara masalah untuk melantik mereka ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Mengikut statistik antara 2009 hingga 2015, jumlah graduan perubatan hanya sekitar 3,000 setahun, tetapi kadar itu meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 atau lonjakan hampir 100 peratus setiap tahun sejak 2016.

Menyentuh perancangan penyelesaian jangka panjang, Dr Kar Chai masih berharap supaya kerajaan mempertimbangkan lanjutan kontrak selama 10 tahun dan penambahan jumlah kekosongan di sektor perkhidmatan awam.

“Ini akan memberikan jaminan pekerjaan dan membuka ‘pintu’ untuk kakitangan perubatan kontrak menjadi tenaga pakar.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang pengesahan mengenai tarikh perbincangan bersama Kementerian Kesihatan, menerusi kepemimpinan menteri baharu.

“Tetapi, MMA berharap ia berupaya dilaksanakan secepat mungkin bagi merangka jalan penyelesaian terbaik untuk beberapa isu berkaitan,” katanya.

Mengulas mengenai hadiah latihan persekutuan (HLP), Dr Kar Chai menyifatkan ia sebagai keperluan asasi doktor kontrak untuk melanjutkan pengajian menjadi tenaga pakar.

Jelasnya, hal itu kerana tidak semua kursus ditawarkan dalam ‘parallel pathway’ atau pengambilan ujian menjadi doktor pakar dan diperakui Kementerian Kesihatan (KKM).

“Memang tidak dinafikan segelintir diperakui KKM, tetapi rangkaian kursus ini memerlukan peruntukan kewangan yang amat tinggi dan di luar kemampuan kakitangan kontrak,” katanya.

Tamat