Vaksinasi bagi pelajar sekolah berumur 16 dan 17 tahun di negeri ini akan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 bermula Isnin ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Azimi Yunus berkata, setakat Rabu lalu, pihaknya sudah melaksanakan vaksinasi kepada golongan remaja yang mempunyai masalah kesihatan.

“Lima hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh; Hospital Lipis; Hospital Pekan dan Hospital Bentong.

“Bermula Isnin iaitu pada 20 September ini program vaksinasi akan diperluaskan kepada semua pelajar berumur 16 dan 17 tahun pula.

“Kini pihak kita sedang membuat penyelarasan bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada petang Khamis.

Menurutnya, Dr Azimi berkata, setakat ini sebanyak 81.7 peratus atau kira-kira 960,126 penduduk dewasa di Pahang telah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 691,258 atau 58.8 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Kalau ikutkan, setakat ini hanya kira-kira 26,048 mereka yang telah berdaftar sedang menunggu disuntik vaksin.

“Bagaimanapun, masih ada seramai 189,626 atau 16.1 penduduk dewasa yang masih belum berdaftar,” ujarnya.

Menurut beliau, bekalan vaksin setakat ini berada di tahap sangat baik dan pihaknya menyasarkan pada akhir September 100 peratus populasi dewasa di negeri akan disuntik satu dos vaksin.

Namun, melihat senario sekarang pencapaian tersebut mungkin agak lambat untuk dicapai.

Sehubungan itu, beberapa strategi telah disusun di semua daerah bagi merancakkan proses vaksinasi melalui program outreach yang telah dan sedang dilaksanakan.

“Hampir semua ceruk kampung telah dijejaki, namun kehadiran untuk suntikan dos satu masih tidak mencapai sasaran.

“Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas. Kepada warga Pahang yang masih belum mendapat suntikan sambutlah peluang ini supaya sasaran 100 peratus dos satu penduduk dewasa pada akhir September ini tercapai,” katanya.

Tamat