NEW YORK: Sekumpulan organisasi hak asasi manusia terdiri daripada 40 orang Islam di Amerika Syarikat (AS) me­lancarkan kempen boikot rangkaian hotel Hilton Worldwide.

Ia susulan rancangan pembinaan hotel di bekas tapak masjid milik etnik Uighur yang dirobohkan pihak berkuasa China di wilayah Xinjiang.

Bercakap dalam sidang akhbar di hadapan ibu pejabat Hilton di Virginia, Jawatankuasa Hubungan Amerika-Islam (CAIR) berkata, pihaknya sudah melakukan ‘perundingan secara tidak langsung’

dengan kumpulan hotel itu bagi mengemukakan rayuan supaya membatalkan cadangan tersebut.

Namun, bekas Pengarah Ek­sekutif CAIR, Nihad Awad berkata, cadangan itu langsung tidak dipedulikan.

“Kami mengumumkan kempen boikot di seluruh dunia terhadap Hilton.

“Saya dan anda semua mempunyai pilihan untuk memilih ke mana destinasi pilihan atau mengadakan mesyuarat perniagaan mahupun menganjurkan acara seperti majlis perkahwinan,” katanya.

Ogos lalu, Suruhanjaya Kong­res AS membantah penglibatan Hilton Worldwide dalam pembinaan hotel di tapak masjid yang diruntuhkan oleh pihak berkuasa China di Xinjiang.

Tapak itu adalah lambang kepada kempen kerajaan China yang melakukan pemusnahan agama yang dianuti oleh etnik Uighur dan kawasan kebudayaan serta wilayah yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai.

Menurut Nihad, pihaknya menyedari cadangan projek itu, awal Jun lalu.

Berdasarkan kajian oleh Institut Polisi Strategik Australia, sebanyak 16,000 masjid di 900 lokasi di Xinjiang dirobohkan sepenuhnya mahupun sebahagian binaan antara 2017 hingga 2020.

Pihak berkuasa China bertindak merobohkan menara masjid dan pemusnahan itu dapat disaksikan menerusi gambar satelit sejak beberapa tahun lalu hingga sekarang.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Beijing memberitahu agensi berita Reuters awal tahun lalu, tiada tapak agama yang dirobohkan di Xinjiang dan pihaknya menjemput masyarakat antarabangsa mengadakan lawatan di kawasan tersebut.

Agensi berita itu berkata, selama 12 hari melaporkan keadaan di sana sepanjang bulan Ramadan lalu, kebanyakan masjid yang dikunjungi didapati dimusnahkan sepenuhnya termasuk sebahagian binaan lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan sebanyak sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti lain ditempatkan dalam kem untuk dikerahkan bekerja di wilayah berkenaan.

China bagaimanapun menafikan kewujudan kem tersebut dan memaklumkan ia adalah pusat vokasional yang dibina untuk membanteras keganasan. – AGENSI