103 penduduk Kemensah Heights, Ampang terpaksa dipindahkan segera sementara bagi membuat penilaian risiko kawasan berkenaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan segera itu terpaksa diambil bagi mengelakkan beberapa siri runtuhan tanah berkenaan.

Menurutnya beliau pada 17 September lalu, pihak berkuasa menerima laporan bahawa berlakunya kejadian bencana geologi tanah runtuh di kawasan perumahan Kemensah Heights, Ampang, Selangor.

“Berdasarkan siasatan awal, Jabatan Mineral dan Geosains, Malaysia (JMG) menyatakan ia dicetuskan oleh faktor hujan sama ada yang turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa yang lama.

“Faktor pencetus ini bersama faktor penyumbang lain seperti bahan geologi dan morfologi cerun di tempat kejadian telah menyumbang kepada berlakunya kegagalan cerun dan mengakibatkan tanah runtuh berlaku,” katanya.

Takiyuddin berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JMG yang tentunya mempunyai kepakaran dalam bidang geologi dan berkaitan diberi tanggung jawab untuk menjalankan siasatan lanjut, yang mana hasil laporan insyaAllah akan dikeluarkan apabila selesai.

“Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tindakan segera pihak terlibat.

“Takziah diucapkan buat semua penduduk yang terlibat. Semua pihak sedang berusaha menjalankan langkah-langkah yang difikirkan perlu agar masalah sama tidak berulang dan kebajikan Keluarga Malaysia yang terjejas diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Tamat