Berdasarkan Mesyuarat Khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) baru-baru ini, ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir telahpun diputuskan bahawa ianya sesat serta bertentangan dengan hukum syarak dan mampu membahayakan keselamatan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat minggu lepas yang turut dihadiri para mufti dan beliau sendiri.

“Alhamdulillah keputusan sudahpun keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita itu dan lebih 1,000 pengikutnya.

“Kita juga merasakan kes ini akan ditutup dalam masa terdekat dan yang tinggal hanyalah proses pendakwaan,” katanya kepada media.

Menurutnya beliau berkata susulan keputusan dibuat oleh MFK, terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk mewartakan mengenai ajaran tersebut.

Ahmad Marzuk turut menasihati masyarakat agar tidak mencari ‘jalan pintas’ ke syurga dengan pelbagai cara sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam dengan merujuk kepada pihak majlis agama negeri.

“Kita boleh merujuk kepada hadis dan al-Quran yang sebenarnya sudah ada panduan lengkap cara mengamalkan agama,” katanya.

Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh mahkamah terhadap wanita yang juga pengasas ajaran itu dan pengikutnya boleh dikenakan penjara serta denda.

Katanya, sebelum terbabit, wanita berkenaan sudah dinasihatkan oleh suaminya supaya tidak meneruskan ajaran berkenaan.

“Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya, sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian,” katanya. 

Tamat