Satu projek rintis padi yang bakal memberi hasil lumayan kepada petani melalui Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) bersama usaha sama Pertubuhan Peladang Kebangsaan NAFAS dan Petronas di Kampung Nam Dam sini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, program berkenaan melibatkan seramai 68 pesawah serta membabitkan keluasan seluas 70 hektar yang bermula musim satu April lalu.

Menurutnya purata hasil pengumpulan bagi satu musim itu menunjukkan penghasilan sebanyak tujuh tan metrik per hektar melalui kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) program itu berbanding 2.95 tan metrik pada musim sebelumnya.

“Kita mengharapkan program seumpama ini mampu menjadi model kepada semua petani terutamanya generasi muda yang mampu mengikuti teknologi pertanian ini supaya mereka cebur diri dan boleh melaksanakan projek penanaman padi berskala besar dalam negara kita,” katanya selepas merasmikan program itu.

Turut hadir pada perasmiaan itu ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Ketua Pegawai Pembuatan Petronas Chemicals Group Berhad Mohd Kabir Noordin.

Nik Muhammad Zawawi berkata, program ini seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan hasil setiap hektar tanah, meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya meningkatkan Tahap Sara Diri beras negara iaitu daripada 70 peratus ke 75 peratus.

“Saya berharap dan yakin projek seumpama itu mampu diperluaskan lagi ke negeri lain yang membabitkan kawasan tanaman padi di negara ini seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pulau Pinang dengan mensasarkan keluasan 5,000 hektar keseluruhan,” katanya.

Tamat